|
MUHADHARAH ILIM KALI KE 11, SASAR KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN  | Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) meneruskan program Muhadharah kali ke 11 pada hari Khamis 15 Julai 2010 yang lalu bertempat di Auditorium Al-Syafie, ILIM. Tema muhadharah pada kali ini ialah ‘Kemahiran Keibubapaan: Asas Kesejahteraan Keluarga, Masyarakat Dan Negara’. Para peserta hadir dari seluruh Malaysia terdiri daripada hampir 200 orang pegawai dan kakitangan kerajaan di pelbagai jabatan. |
Signifikan muhadharah ini dianjurkan ialah untuk memberi kefahaman tentang aspek pendidikan kemahiran keibubapaan agar peranan yang dimainkan lebih signifikan membina keluarga yang sejahtera. Selain itu, ia juga dapat memberi pendedahan tentang teknik dan gaya kemahiran keibubapaan dalam menangani masalah anak-anak. Malah impak yang diharapkan adalah untuk memberi kesedaran peranan institusi kekeluargaan sebagai pencorak perkembangan dan kesejahteraan rakyat. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah ILIM, Tuan Haji Paimuzi bin Yahya. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Hajah Noor Hadina binti Ahmad Zabidi, Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang juga merupakan ahli lembaga penasihat ILIM, Y.A.A. Dato’ Haji Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, dan Y.A.A. Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor serta pegawai-pegawai kanan kerajaan. Majlis dimulakan dengan sesi pembentangan kertas kerja pertama yang bertajuk “Cabaran Semasa Dalam Membentuk Keluarga Berkualiti” yang disampaikan oleh En. Norazman bin Amat, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Pembentangan kertas kerja kedua pula bertajuk “Ibu Bapa Cemerlang, Anak Gemilang” disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Khaidzir bin Hj Ismail, Timbalan Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia. Moderator yang dijemput untuk sesi pembentangan tersebut ialah En. Kharun Naim bin Ramli dari Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia. |
|
Last Updated ( Jul 20, 2010 at 08:51 AM )
|