|
PENEMUAN SAINS TEPAT DENGAN AL QURAN  | Jumaat, 16 Julai 2010, Institut Latihan Islam Malaysia telah mengadakan Majlis Perhimpunan Mingguan dan telah menjemput Pensyarah Jabatan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor iaitu Ustaz Rosli bin Mokhtar untuk menyampaikan ceramah ringkas berkenaan Al Quran dan Sains. |
Ceramah beliau cukup memberangsangkan hati dan minda para pendengar dan mengakui keagungan Al Quran yang terkandung kehebatan di dalamnya. Antara mukjizat Al Quran yang tidak dapat dinafikan ialah keunggulan ilmu Allah setelah penemuan bukti ciptaan-ciptaan Allah melalui sains. Ujar Us. Rosli, “Sains tidak mencipta, sains hanya menemui ilmu Allah!” Malah tambah beliau “Al Quran bukanlah kitab sains. Tetapi Al Quran merupakan kitab mukjizat yang membenarkan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan dipelihara oleh Allah SWT supaya manusia dapat melihat kebenaran melalui kematangan tamadun yang silih berganti dan akhirnya sains telah menemui banyak ilmu Allah sebagaimana yang terkandung dalam Al Quran. Menurut beliau lagi, “Al Quran menggalakkkan manusia mencari ilmu dan menggali rahsia di sebalik penceritaan dan ayat –ayat yang diterangkan oleh Allah SWT. Sekalipun bergelar orang agama, Islam tidak menyuruh kita memisahkan ilmu-ilmu lain. Malah agama perlu bergandingan dengan semua ilmu terutamanya ilmu sains. Orang yang memisahkan agama dengan ilmu kehidupan, mereka itulah manusia sekular.” Warga ILIM terpesona dengan ceramah yang disampaikan walaupun singkat , namun sungguh padat dan bermanfaat dalam meningkatkan keimanan pada Rukun Iman yang ke empat iaitu beriman pada kitab Al Quran, mukjizat nabi Muhammad SAW untuk sekalian umatnya. |
|
Last Updated ( Jul 20, 2010 at 09:02 AM )
|